Pages

Monday 29 September 2014

#2.5 Sebelum - Ijazah, apa makna disebalik sehelai kertas


Pabila aku ingin menulis mengenai kisah hidup aku di UTM.. Tak pasti apa yang perlu aku ceritakan kerana jika diungkap semua kisah.. 3 tahun bukan satu masa yang singkat.. Mungkin 300 muka surat belum tentu cukup. Tidak pasti di mana ingin aku mulakan ceritera kehidupan mahasiswaku..

Mungkin ada baiknya aku mulakan dengan beberapa falsafah dan panduan yang mampu aku kongsikan.. Bagi aku, ilmu tu sesuatu yang cukup indah.. Mungkin juga merupakan cinta pandang pertama aku bukan sahaja masa dulu malah sekarang masih lagi aku diulit perasaan sayang dan cinta pada ilmu.. Alhamdulillah syukur pada rahmat dan rezeki dari Allah swt.


Ibu bapa aku sangat-sangat menitik beratkan tentang ilmu.. Namun bukan setakat ilmu tapi amalan atas ilmu tersebut.. Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tak berbuah.. Ini antara ratusan juta pesanan ibuku buat diri ini.. Dengan pesanan itu aku cuma untuk tidak lokek untuk berkongsi ilmu yang aku ada.. Akan aku ajarkan apa yang aku mampu kepada sesiapa yang berkehendak terhadap ilmu tersebut.


Maka, sepanjang pengajian aku di UTM dan mungkin juga antara rahsia kejayaan dalam mengharungi hidup sebagai mahasiswa ialah kata-kata ibu.. Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tak berbuah.. Ini membuatkan setiap kali aku menuntut ilmu, aku cuba fikirkan apa yang boleh dilakukan dengan ilmu tersebut.. Apa manfaat disebalik ilmu tersebut. Untuk apa aku pelajari semua ini.. Jika aku mengharapkan lulus semata-mata.. Itu bukan ilmu dengan amalan.. Ilmu tanpa pemahaman ibarat hidup tanpa roh.

Kerana aku rasakan nilai ilmu itu cukup besar dan bermakna... Setiap masa dan saat yang diberikan pada aku untuk menuntut ilmu, takkan aku lepaskan sama sekali.. Tak kira tempat, masa dan ketika.. 

Ada ketika, jika aku boleh pelajari ilmu-ilmu di luar ruang lingkup silibus.. Akan aku gunakan peluang tersebut.. Untuk membina jalan bagi mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.



Selain itu, tingginya nilai ilmu membuat aku memandang tinggi dan menghargai pemberi ilmu.. Penyampai ilmu.. Rasa hormat pada pensyarah itu tak sesekali hilang dari kaca mata ini.. Dalam masa yang sama, aku sering kali cuba berdampingan dengan mereka, kerana ilmu yang tersemat rapi dalam jiwa mereka..

Alhamdulillah, cukup banyak peluang yang disediakan oleh mereka bagi aku mendalami kebanyakan ilmu yang ada di bumi UTM tersebut..

Maka, jika aku lihat kembali, ijazah yang aku peroleh di UTM bukan semata-mata sehelai kertas untuk pengiktirafan manusia.. Namun ianya lebih kepada penghargaan kepada ilmu, aplikasi ilmu terhadap kehidupan seharian, rasa hormat dan taat pada penyampai-penyampai ilmu dan memberi peluang untuk aku berdamping dengan golongan-golongan ilmuan yang mempunyai seribu satu kepakaran.. Tak banyak, sedikit tempias ilmu mereka dapat aku nikmati.

Jalan menuntut ilmu itu cukup indah dan luas.. Kadang kala penuh dengan kesunyian..

Monday 22 September 2014

Hidup dalam kehidupan

Kita berhenti seketika dari kisah-kisah lama..

Kali ini aku ingin bawa sesuatu ke ruang maya ini.. Satu persoalan yang mungkin bagi kebanyakan manusia tidak menjadi masalah.. Namun bagi ku, ianya Hit & Miss. Persoalan hidup dan kehidupan..

Tak dinafikan aku boleh bagi jawapan yang cukup tepat.. Contohnya, hidup ini diabdikan kepada Allah swt. Bagi memahami ilmu Allah. Memahami kesempurnaan ciptaan Allah yang akhirnya membawa kepada bertapa sempurnanNya Yang Maha Esa. Selain itu, untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik untuk insan, makhluk dan juga alam.

Namun daripada semua jawapan itu, sejauh mana intipatinya diasimilasikan dan kehidupan seharian.. Sejauh mana kita hidup dalam kehidupan dengan erti kata sebenarnya. Aku sering kali bertanya soalan ini pada diriku..

Aku sedar soalan-soalan ini selalunya hadir pabila aku hilang arah tuju.. Hilang panduan dan pedoman dalam hidup.. Soalan ini seringkali membawa aku kembali menyingkap jawapan-jawapan dalam manuskrip kehidupan manusia.. Dalam Al-Quran itu sendiri.. 

Tanpa pernah gagal, ianya memberikan aku ketenangan.. Namun semuanya bersifat sementara.. Masih ada lagi kekosongan jiwa dan hati ini yang mana aku tak pasti.. Di mana silapnya atau dimana hilangnya..

Jika nak katakan aku tidak memiliki kehidupan.. Secara fizikalnya.. Alhamdulillah cukup sempurna.. Namun jika dilihat dalam konteks hati.. Satu yang cukup susah dinilai dan diungkap..

Mungkin kerana pengharapan yang diletakkan bukan pada Ilahi namun pada makhluk.. Ada masanya aku ingat hati ini makin pulih dan bersih.. Malangnya, kekotoran dan bintik hitam itu bukan mudah dibersihkan jika jasad tak pernah istiqamah..

Secara fitrah manusia sentiasa sukakan kebaikan.. Namun pada masa yang sama manusia sukakan cabaran.. Adakalanya baik dan buruk dalam cabaran itu terpisah dalam satu garisan yang cukup halus.. Tiada sempadan yang jelas..

Untuk kekal istiqamah bukan mudah namun bukan sesuatu yang sukar mahupun mustahil.. 

Hidup dalm kehidupan.. Pengembaraan membersihkan hati.. Satu perjalanan.. Satu tujuan.. Nikmat ketenangan hati itu selalu dikaitkan dengan Nikmat Syurga Dunia..

Kenal diri kita, ketahui diri kita..

Apa makna ilmu yang tinggi jika hati tak tenang
Apa guna kekayaan yang melimpah ruah jika ketenangan bukan milik kita
Apa pentingnya pangkat dan darjat kita ketenangan jarang kali kita kecapi

Kita tak perlu kaya harta, punya pangkat yang besar dan darjat yang tinggi untuk memiliki ketenangan yang abadi..

#2.4 Sebelum - Kenapa Kimia???

Setelah lulus di peringkat persediaan. Aku memilih jurusan Kimia Industri sebagai pengkhususan dalam bidang Sarjana Muda Sains aku.. Pilihan di hati adalah untuk memasuki jurusan Kimia Tulen namun kursus itu tidak ditawarkan kepada kami pelajar Ekspress MARA (Forecast), padahal bidangnya tidak jauh beza dan amat sesuai dengan jiwa fundamental dan impian serta cita-cita aku untuk memahami asas sesebuah elemen.

Kenapa aku memilih kimia dan bukannya fizik mahupun biologi ataupun matematik. Pilihan ini atas diskusi aku bersama-sama Amrul dalam memilih masa depan penyelidikan kami.. Bidang kejuruteraan telah aku tolak awal-awal dalam pilihan hidup kerana bagiku, bidang kejuruteraan ini adalah aplikasi Sains.. Maka pabila aku sudah menguasai ilmu Sains, tidak ada masalah untuk aku mengaplikasi dalam apa jua bidang.. Untuk aku ubah haluan dari Saintis kepada Jurutera, tidaklah serumit mana..


Biologi, sewaktu di MRSM, ini antara subjek kegemaran aku. Kehebatan Cikgu Siti Maimunah dan Cikgu Faezah mengajar subjek ini membuatkan aku gemar mempelajari fisiologi manusia namun ianya masih dalam konsep aplikasi Sains.. Aku kene pergi lebih asas dan fundamental lagi daripada itu.. Sewaktu aku  menetapkan pilihan untuk akan meninggalkan ilmu Biologi buat sementara waktu, Cikgu Faezah menjadi saksi air mata ini gugur sebagai bukti bertapa payah dan sukarnya untuk aku mengabaikan salah satu cabang ilmu yang sudah berasimilasi dalam hidupku.


Kini tinggal Fizik, Kimia dan Matematik.. Kerna matematik bagiku adalah alat untuk memahami konsep Fizik dan Kimia maka ianya akan dipelajari selari dengan ilmu Sains lain, maka tidak perlu untuk aku fokus dalam hidup aku bagi membuktikan 1 + 1 = 2.

Keputusan yang cukup sukar, sama ada untuk teruskan dalam bidang Fizik ataupun Kimia.. Ada yang katakan fizik adalah Bapa Sains dan ada juga yang katakan kimia adalah asas kepada zarah. Namun setelah ditimbang tara.. Aku lihat ilmu fizik itu sifatnya fizikal dan boleh dilihat serta difahami lebih mudah berbanding ilmu kimia yang mana melibatkan tindak balas serta proses-proses yang perlu difahami sifat zarah dan atom satu per satu.

Jika waktu dan ketika itu ada kursus menggabungkan kimia dan fizik. Sudah pasti itu pilihan hati.. Namun semua yang berlaku tertulis dengan penuh hikmah..

**************

Siapa sangka kepakaran aku kini dalam bidang Kimia Fizikal, pengkhususan elektrikal dan tenaga.. Ianya menggabungkan konsep Kimia, Fizik dan Kejuruteraan.. Allah itu Maha Besar, perancangan aku suatu masa dulu, tercantum bak cantuman lego.. Satu per satu menjadi realiti kehidupan.

Alam yang terbentang luas diilhamkan untuk manusia berfikir.. Namun sejauh mana kita fikirkan tentang alam dan kejadiannya.

Sunday 21 September 2014

#2.3 Sebelum - Persediaan Ekspress Mara cukup mencabar

Tak dinafikan jangka masa untuk persediaan Pra-Universiti ini cukup ekspress. Silibus pengajian matrikulasi yang tempohnya 1-2 tahun dipadatkan dalam masa 4 bulan.. Setiap hari kelas dari pukul 8 pagi sehingga 5-6 petang.. Satu perkara penting yang aku pelajari.. Sink or Swim.. Kerana jadual yang terlalu padat, aku tak punya masa untuk sambil lewa dalam kelas.. Ada masa kerlipan mata atau tarikan nafas yang terlalu lama boleh membuatkan aku hilang fokus dalam kuliah… Kerna semuanya berlaku terlalu pantas.. Aku perlu melatih diri aku supaya mampu memahami kuliah dan menganalisa maklumat dalam masa yang sama serta sepantas mungkin..

Dalam masa ini juga aku pastikan dan tak benarkan diriku sama sekali kembali ke asrama selagi aku tak faham apa yang aku pelajari (kecuali Fizik Elektrik; sumpah subjek ni aku tak faham apekebenda yang diajarkan).. Selagi aku tak faham kuliah pada hari itu, aku bertanya dan terus bertanya pada pensyarah… Selagi aku tak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan akan aku lontarkan pandangan dan pendapat aku.. Ada masanya Dr Rusmidah dan Prof Wan Aini pulang ke pangkuan suami dan anak-anak selewat 7 malam, hanya kerna kedegilan dan kelembapan anak didiknya untuk memahami subjek yang diajar oleh mereka pagi tadi.

Disebabkan kapasiti otak yang digunakan semaksimum mungkin dari pagi hingga ke petang.. Waktu malam aku perlu gunakan sebaik mungkin.. Aku perlukan makanan yang berkhasiat untuk otak dan juga tidur yang cukup.. Setiap kali selesai solat Isyak, dalam pukul 9 malam, aku sudah mula menarik selimut dan diulit mimpi..

Beginilah kehidupan aku selama 4 bulan.. Pergi dan kembali ke kuliah.. Memahami semua ilmu yang dibentangkan sebanyak mungkin dan pada masa yang sama cuba untuk aku aplikasikan dalam kehidupan sebenar..


Jika ada masa lapang, akan aku lewati balai cerap untuk menenangkan minda ataupun berjumpa dengan Prof Halimaton bagi menyuntik inspirasi penyelidikan ke dalam diri insan kecil ini.. Di mana masih banyak perlu aku pelajari dan difahami sebelum bergelar seorang Saintis apatah lagi ingin memulakan bidang penyelidikan sendiri.

Pada waktu dan ketika itu, ada juga kisah Tabligh dan acara lari keluar blok beramai-ramai, padam kipas dan lampu serta menyorok di beranda.. Namun biarlah itu menjadi cerita antara kami di blok L04..

Alhamdulillah, aku peroleh keputusan yang cemerlang sewaktu kursus persediaan dengan GPA 3.93.. Namun aku kecewa dengan system pendidikan secara umumnya kerana pihak Universiti mengkategorikan kursus Sains seolah-olah ianya sebagai kursus buangan dan anak tiri.. Kelayakan untuk memasuki Fakulti Sains cukuplah rendah jika dibandingkan dengan Fakulti-Fakulti Kejuruteraan..

Maka inilah kisah aku.. Hanya belajar dalam negara (bukan budak oversea) dan menyambung pengajian di fakulti buangan…


Melihat alam sentiasa memberikan aku ketenangan dan membuatkan aku berfikir akan kebesaran Penciptaku

Saturday 20 September 2014

#2.2 Sebelum - Perancangan hidup cukup mudah pada masa itu

Sebelum keputusan SPM diumumkan, aku sudah menempatkan diriku dalam kursus persediaan ijazah (Forecast) di UTM Skudai pada 14 Januari 2006. Semua perancangan disusun rapi selepas berjumpa dengan Prof Halimaton. Beliau cadangkan untuk aku mengambil kursus ini kerna di UTM, beliau mengepalai Program Saintis Cemerlang, di mana program ini memberi peluang kepada pelajar ijazah untuk meneroka bidang penyelidikan dan menjadi platform bagi memperkasakan asas-asas penyelidikan.


Pada waktu dan ketika ini perancanganku cukup mudah.. Tidak perlu untuk menyambung ijazah keluar Negara.. Target aku cukup mudah. Habiskan pengajian di peringkat Sarjana Muda (Bachelor Degree) secepat mungkin. Maka dengan program Forecast, aku akan menamatkan kursus persediaan aku selepas 4 bulan dan memulakan pengajian Sarjana Muda aku pada bulan 7. Di mana, ketika itu, rakan-rakan aku yang lain baru menyertai program matrikulasi mahupun persediaan sepert IB.



Selepas itu, aku memilih kursus Sarjana Muda Kimia dengan tempoh pengajian 3 tahun dan kemudian aku boleh sambung pengajian dalam peringkat PhD menurut minat yang aku suka.. Dengan satu impian, satu cita-cita iaitu menguasai salah satu elemen dalam jadual berkala unsur (baca: Periodic Table). Maka dalam usia seawal 21 aku boleh memulakan kajian dalam bidang Alcehmy dan Fundamental Elemen Kimia..


Cukup mudah, 4 bulan persediaan, 3 tahun Sarjana Muda dan kemudia bermula pegembaraan sebenar… Hidup Sang Penyelidik..

Struktur Atom Gergasi 

Friday 19 September 2014

#2.1 Sebelum - 10 tahun yang lalu

Ini merupakan kronologi kisah hidupku.


Alhamdulillah aku dilahirkan dalam keluarga yang cukup sempurna buat diri ini.. Aku punya emak, ayah, abang dan kakak.. Sepanjang hidupku, sejak dari kecil, mak dan abah tidak pernah sesekali menetapkan pilihan hidup ini.. Yang pasti mereka hanya memberi panduan dan ilmu bagi aku memilih apa yang terbaik.. Kata-kata yang sentiasa melewati fikiran aku hanyalah


"Emak serahkan kepada kematangan kau untuk berfikir"

Maka sewaktu usia aku menjangkau 16 tahun, aku membuat keputusan untuk keluar dari rumah dan menimba ilmu di Jasin, Melaka.. Pilihan aku untuk meneruskan jurusan Sains pun bukan satu paksaan mahupuh halangan. Cuma Abah acap kali bertanya akan kepastian aku kerna beliau gusar akan jurusan Sains lebih sukar berbanding jurusan lain.

Sewaktu di MRSM, tak banyak yang berlaku dalam hidup ini.. Aku banyak menghabiskan masa dengan guru-guruku.. Menimba ilmu sebanyak mungkin, melihat dunia dalam perspektif mereka dan belajar melalui pengalaman serta kesilapan mereka.. Di sini aku mula sedar setinggi mana ilmu yang ada, jiwaku tidak akan pernah puas kerna makin sedikit yang aku ketahui dalam hidup ini.. Ada sahaja benda yang diluar jangkaan mahupun pemahaman aku.. 

Ketika aku hidup di asrama, kebanyakan masaku dihabiskan dalam makmal ataupun bilik guru.. Hubungan dengan raka sebaya, senior mahupun junior hanyalah sebagai insan yang berkongsi satu kehidupan yang sama.. Tidak lebih, tidak kurang daripada itu..

Cuma pabila SPM makin hampir tiba, aku rasakan aku perlu sumbangkan sesuatu buat rakan-rakan yang lain.. Maka  program Final Revision Program dicadangkan dan Alhamdulillah hasilnya cukup untuk buat aku berpuas hati..

Sepanjang kehidupan aku di asrama, ada beberapa kali aku diberi peluang ke UTM, Skudai dan buat pertama kalinya aku bertemu dengan Prof Halimaton. Beliau memberi banyak inspirasi untuk aku terus meneroka ilmu Sains dan juga memberi aku ruang untuk mencuba bidang Nanoteknologi.. Sejak saat dan ketika aku diperkenalkan dengan Maerogel hasil penemuan beliau.. Dunia aku berubah.. Bak kata Richard Feynman "There are plenty room down below".

Dalam masa yang sama rakan akrabku AmrulQays memberi pelbagai idea untuk aku meneruskan pengajian ilmu Sains dan memastikan Islam tidak terpisah dari semua itu.. Namun kerana limitasi ilmu bahasa Arabku, dan tiada guru agama yang mampu membantu ilmu Tafsir, pemahaman Al-Quranku hanya berada pada tahap minima.. Tidak banyak yang mampu kami kaitkan antara zarah (atom) dengan asal penghasilan elemen melalui Al-Quran mahupun hadith.. Di mana waktu itu aku percaya dengan pemahaman fundamental atom serta zarah, manipulasi elemen mampu digapai. Atomic Transmutation akan menjadi satu realiti.

Kebanyakan kajian kami berkisar pada Zaman Kegemilangan Islam (Abbasiyah dan Othmaniyyah). Bagaimana para saintis menyatukan Islam dan Sains.. Kerana agama, penemuan Sains diterokai tanpa batasan..

Waktu itu, ini satu-satunya motivasi aku untuk meneruskan kehidupan.. Menggembalikan zaman kegemilangan Islam menerusi ilmu Sains.. Kerna dunia pada masa itu dan juga pada masa sekarang berkata-kata melalui Sains, Teknologi serta Ekonomi.. Maka jika aku ingin berbicara mengenai Tuhan yang satu, Islam, Keamanan dan Keadilan.. Aku perlukan platform supaya dalam setiap tutur kataku itu ada kredibiliti dan kepercayaan untuk dipercayai dan difahami.

Maka, pengembaraan aku untuk mencapai platform ini bermula.. Mengorak langkah memulakan perjuangan yang aku tak pasti penghujungnya.. Pada waktu dan ketika itu, aku hanya fikirkan untuk lakukan yang terbaik demi agama dan demi umat Islam itu sendiri.. Untuk menamatkan keganasan dunia dan menjadikan ianya tempat yang lebih baik dan aman untuk semua.. Satu tempat di mana semua manusia walaupun berlainan fahaman mahupun agama dapat hidup harmoni.. Menggembalikan martabat umat Islam yang telah disalah ertikan oleh pihak Barat.

Namun, dalam perjalanan dan perjuangan itu.. Ada masa Islam hilang.. Tenggelam timbul dalam hatiku..



Ilmu itu lebih luas dari langit dan lautan.. Keluasannya diluar batasan pemikiran manusia.

Thursday 18 September 2014

#1 Ini kisah hidupku

Sedar tak sedar dah lebih dari setengah tahun blog ini ditinggalkan.. Pelbagai liku-liku hidup telah aku lalui.. Namun aku rasakan aku perlu menulis kembali.. Nukilan kali ini lebih kepada kisah hidupku dan bagaiman suntikan Islam itu sedikit sebanyak membuatkan aku kenal dan hargai diri aku..


Ya, aku belajar tentang Islam lebih banyak di negara asing.. Di Bristol, Eropah dan Amerika Syarikat berbanding di negaraku sendiri.. Semoga nukilan-nukilan ini akan mampu memberi sumber inspirasi buat insan-insan yang masih berjuang dalam mencari makna kehidupan.. Nukilan ini tidak bermakna aku sudah selesai berjuang.. Setiap nafas dan langkah ini masih dalam satu perjuangan.. 

Aku rasakan ada baiknya aku titipkan sedikit sebanyak perjalanan hidup ini.. Semoga ianya menjadi ilmu dan pengalaman yang bermanfaat untuk insan lain di luar sana..


Percutian Hujung Dunia sebenarnya hanyalah elaborasi dari proses pengajian di peringkat PhD (Doctorate of Philosophy). Mungkin ada yang pernah dengar insan lain klasifikasikan sebagai Permanent Head Damage, Possible Heart Dysfunction dan kata-kata negatif lain.. Buat diriku.. "We are what we think". Maka aku mulakan perjalanan aku dengan kata-kata yang positif supaya perjalanan aku mencari dan meneroka ilmu Allah itu, InshaAllah diberkati dan sentiasa dibawah lindung rahmatnya..

Jika ada yang sudi dan rajin jejak cerita awal dari blog ini sendiri.. Semuanya bermula semasa aku mula menjejakkan kaki ke bumi Bristol.. 


Kali ini aku cuba bawa perspektif hidup aku sebelum semuanya bermula.. 

InshaAllah jika ada keberkatan dalam hidup ini dan umur yang panjang, akan aku cuba nukilkan cerita Sebelum, Semasa dan Selepas Percutian Hujung Dunia..

Semoga ianya akan menjadi satu nukilan yang bermanfaat buat semua..


With the youngest family member