Pages

Wednesday, 30 October 2024

Penulisan yang perlu diteruskan...

Hampir 10 tahun penulisan ini bersawang.. Kalau ikutkan hati mungkin akan terus bersawang hingga ke akhir hayat.. Cuma baru-baru ini, setelah berbual dengan seorang rakan karib, komennya "Engkau kena menulis balik ini, tulis lah apa sahaja, asalkan ianya sebuah penulisan". Kata-kata ini membuatkan aku tersentak dan aku terfikir sejenak. Sejauh mana aku mengenali diri aku yang sekarang, sejauh mana ianya diekpresikan.

Seteleah 1-2 bulan berlalu, entah di pagi yang sunyi penghujung Oktober ini, aku terasa ingin menulis semula. Ianya masih berkontekskan Percutian Hujung Dunia walau perjalanan ini tamat hampir 10 tahun yang lalu namun perjalanan sebenar tidak akan pernah tamat. Ianya memberi makna dan identiti kepada diri ini untuk terus berjuang namun 10 tahun ini mungkin telah memamah sedikit demi sedikit intipati sebenar yang membina jati diri ini.

Maka, aku rasakan aku perlu menulis semula. Sama ada istiqamah atau tidak, tiada sesiapa dapat pastikan.

Cuma aku rasakan semoga penulisan ini mungkin boleh menjadi satu refleksi diri, untuk menjadi rujukan diri ini di masa sekarang dan juga di masa akan datang. Ataupun, setidak-tidak menjadi peneman untuk dikala hidup ini kucar-kacir, haru-biru mahupun gundah gulana.

Penulisan ini juga adalah permulaan untuk menerima bahawa keadaan sudah berubah sejak 10 tahun yang lalu dan jujur aku sedang bergelut dengan pelbagai perkara sehinggakan hari-hari yang dilalui entah tak dapat digambarkan perasaannya.

Memang benar hidup ini adalah satu ujian. Namun, ada masanya aku rasakan untuk melarikan diri daripada kehidupan fatamorgana ini kerana ianya terlalu menyesakkan. Tipu untuk aku katakan, aku tak rindu hidup yang lalu. Kehidupan tanpa batasan, tanpa komitmen dan aku boleh terbang tinggi tanpa perlu fikir daratan yang seterusnya.

Cabaran kali ini lebih besar.. Sewaktu Percutian Hujung Dunia yang lalu, aku hanya perlu berbicara dengan molekul. Aku hanya perlu memahami akan pergerakan zarah-zarah Carbon dan juga bagaimana pembentukan Berlian. Kini, untuk memahami manusia di mana ianya tiada ketetapan yang pasti membuatkan kebanyakan masa aku tidak rasakan interaksi aku dalam keadaan yang terbaik.

Seolah-olah, skil pengurusan aku dalam pelbagai aspek dicabar hari demi hari. Sama ada di rumah, di tempat kerja mahupun di kampung halaman. Ianya satu cabaran yang tiada penamatnya.

Ada masanya, aku rasakan mungkin aku sendiri yang meletakkan 'expectation' yang tinggi pada diri sendiri untuk 'perform' terhadap perkara yang bukan dalam bidang kepakaran aku sendiri. Atau mungkin, dalam pengaruh minda luar sedar yang mengharapkan aku sentiasa 'perform' seperti sebelum ini.

Maka, wujudlah penulisan ini untuk meneruskan pencarian kembali siapa diri ini bagi membantu mencari jalan keluar dalam kemelut cabaran masa kini.

Jujurnya, aku tidak pasti adakah penulisan ini akan membantu, cuma apa yang aku dapat rasakan sekarang, seolah-olah aku mula kembali bercakap dengan rakan lama yang entah hilang tanpa khabar berita.. Bertukar-tukar pandangan dan mengharapkan sesuatu yang baik akan keluar daripada semua ini.

Jujurnya, hidup ini semakin keras.. Cuma aku harapkan hati aku tidak akan mengeras dan akan terus menyantuni semua sebaik-sebaiknya..