Pages

Sunday, 15 February 2015

Impian & Cita-Cita

Alhamdulillah masih lagi diberikan nikmat untuk hidup dan berfikir serta menikmati dunia termasuk isi dalamnya.. Sudah beberapa purnama ruang cerita dan pengalaman hidup di alam maya ini diabaikan.. Dibiarkan kesunyian.. Banyak kali jugak terdetik dalam hati untuk menambahkan coretan pengalaman namun tugasan dan amanah yang digalas membataskan akal serta fikiran untuk mencerna bagi menghasilkan penulisan... Walaupun satu atau dua perenggan..

Sedar tak sedar, hampir genap 5 tahun aku bertapak menimba ilmu di Bumi Bristol ini.. Aku bersyukur pada Allah atas kurnia nikmat-Nya kini aku secara rasminya melangkah keluar dari pendidikan formal setelah tamatnya pengajian di peringkat Doktor Falsafah.. Bagi aku gelaran itu hanyalah gelaran, setiap kali ada yang memanggil dengan kata ganti diri sebagai Dr. selalunya membuatkan aku dalam keadaan yang kaget dan tak selesa.. Itu bukan tujuan dan sebab utama aku melayari bahtera yang jarang kali berlabuh di mana-mana destinasi.. Bathera ini aku layari dengan penuh sabar kerna aku percaya pada ilmu dan impian.. Cita-cita dan keinginan.. Cabaran dan kekuatan.. Kerana potensi manusia itu cukup luas dan unik..

Secara jujurnya aku tak sangka, selepas 10 tahun meninggalkan alam persekolahan kini aku di pentas dunia.. Kalau dulu pabila mula bertapaknya bidang nanoteknologi di Malaysia, pabila bahan-bahan termaju mula membanjiri Malaysia.. Anak kecil ini hanya tahu melihat gambar-gambar kerna sukar untuk dirinya memahami apa itu carbon nanotubes, aerogel, nanoscale, nano-robot dan sebagainya..

Baginya ia adalah ilmu tahap tertinggi bagi seorang manusia untuk dimiliki.. Pada waktu dan ketika itu, ianya menjadi impian anak kecil itu untuk memiliki, memahami dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian.. Untuk memastikan bahan-bahan termaju ini bukan sahaja difahami oleh golongan ilmuan tapi dicerna dan dizahirkan oleh orang kebanyakan.. Ini merupakan impian taraf pendidikan yang anak kecil ini ingin sampaikan pada waktu dan ketika itu..,

Namun impian itu penuh dengan liku-liku dan cabaran kehidupan.. Dari satu fasa ke fasa yang lain anak kecil ini melihat di mana banyak kelemahan yang wujud yang perlu diatasi.. Setiap hari, setiap masa dirinya cuba mengubah dengan kuasa yang ada.. Cabaran paling besar ketika itu adalah untuk memiliki ilmu tersebut dan menjadi seorang ilmuwan.. Kerna tanpa ilmu, dirinya yakin dan percaya tiada sesiapa yang mampu dia sampaikan ilmu tersebut..

Kini, anak kecil itu sudah meningkat dewasa.. Dek percaya akan dirinya mampu walaupun acap kali dirinya dicabar atas faktor usia, geografi dan juga keluarga, dirinya tak pernah putus asa.. Setiap kali dirinya jatuh terduduk, impian & cita-cita menjadi sumber inspirasi untuk dirinya bangun kembali.. Untuk kekal berdiri teguh dengan prinsip dan pendiriannya.. Dirinya kini masih lagi di peringkat bawahan dalam ilmu yang dia miliki..

Perjalanannya masih jauh, pementasan kisah hidupnya masih lagi di babak pertama.. Namun dia yakin dan percaya.. Dengan meletakkan fokus pada impian dan cita-citanya tidak mustahil akan terhasil impian anak kecil ini.. 

Dirinya yakin dan percaya suatu hari nanti, anak-anak muda yang ingin meneroka alam ini.. Mampu meneroka dengan bijaksana tanpa perlu wujud limitasi dari segi kewangan, konflik peribadi, tekanan politik mahupun faktor hubungan antarabangsa..