Pages

Monday, 13 January 2014

Life is unexpected..

Jika diimbau antara prinsip awal dalam kehidupan yang aku caknakan ini, antara yang paling mudah diungkap namun paling sukar dicerna ialah:

"Hope for the best & Prepare for the worst"

Aku tak nafikan ianya membawa kepada situasi yang cukup, cukup ekstrem.. Aku rasakan kerana prinsip ini juga aku memula memupuk sifat reaksi ekstrem dalam menilai sesuatu perkara.. Yang mana dalam masa beberapa detik aku kena mula menilai dan memberi pandangan pada diriku mengenai laluan hidup yang aku rasakan terbaik.. Ala-ala, split second decisions for multi-path adventure la.. (Okay, complex)..

Sedar tak sedar, dalam hidup aku semuanya berjalan lancar.. Bukan lancar seperti yang aku rancangkan.. Cuma lancar mengikut kehendak Allah swt.. Alhamdulillah, bila aku melihat jalan yang aku telusuri, aku bersyukur.. Hidupku cukup senang dan cukup mudah.. Semuanya dipermudahkan.. Seolah-olah aku tidak pernah rasa sukarnya hidup ini.. Aku mempunyai keluarga yang menyayangi dan sentiasa mendidik diri aku untuk menjadi lebih baik.. Sistem pendidikan yang dilaksanakan juga banyak berpihak pada diriku.. Hidup di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti berlalu begitu sahaja.. Keputusan akademik dalam keadaan baik dan tiada masalah.. Hubungan dengan kawan-kawan dan tenaga pendidik berada dalam keadaan yang cukup bermanfaat.. Setelah tamat alam universiti di Malaysia, aku diberikan peluang untuk melihat dunia luar dan memulakan perjalanan ni bumi Bristol.. Semuanya indah-indah belaka.. Alhamdulillah, syukur pada Allah swt kerana memberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah..

Jika aku nak bandingkan dengan insan lain.. Yang mana makan minum pun tak pasti.. Tempat untuk bermalam pun entah di mana.. Belum lagi yang sudah tiada ibu dan ayah.. Tidak berpeluang belajar.. Tak kira sama ada dalam atau luar negara.. Tidak mengetahui alam dan dunia ini cukup indah.. Jika dibandingkan dengan mereka semua.. Kalau aku masih tak bersyukur.. Sejauh mana kekukufuran aku pada nikmatMu Ya Allah.. 

Ini antara perkara yang aku acap kali fikirkan.. Adakah kerana aku cukup lemah dan tak bersedia untuk diuji.. Maka hidupku cukup mudah.. Kerana bila dibandingkan dengan ujian kanak-kanak lain.. yang berada di negara-negara miskin.. Yang tak kenal siapa ibu mereka, siapa ayah mereka.. Lemahnya diri aku kerana aku tahu Allah swt hanya sediakan cabaran atas kapasiti manusia itu sendiri..

Bila memikirkan keadaan ini aku terus terduduk diam.. Fikirkan, sejauh mana kekuatan aku dalam menghadapi dugaan.. Sejauh mana aku boleh letakkan kepercayaan pada Allah jika ujian seperti itu datang menghinggap..

Namun, dalam perspektif lain aku nampak ini sebagai ujian untuk diriku.. Untuk aku berdiri hidup senang dan pada masa yang sama aku sedar akan kesusahan orang lain.. Maka ianya satu bentuk ujian padaku.. Sejauh mana aku betul-betul kisah dan mahu membantu atau aku akan tewas dan menjadi manusia yang pentingkan diriku sendiri..

Setiap nikmat yang aku ada.. Akan dipersoalkan satu per satu.. Dari syiling sekecil 1 sen sampai la Xbox 360 Star Wars Edition (Mampus aku nak jawab kalau yang ni kena soal).. Yang ni baru harta fizikal.. Belum lagi harta intelek dan anggota badan yang digunakan dini hari.. Nikmat mana yang akan aku terus kufurkan? 

Ini secara tak langsung membawa pada keadaan worst case scenario.. Semua orang selalu fikirkan akan worst case scenario adalah kegagalan.. Namun, ramai yang lupa.. Perkara yang paling buruk berlaku pada manusia adalah pabila kematian menjemput kita tiba.. Tiada manusia yang betul-betul bersedia untuk menerima kematian (Manusia akhir zaman la kan.. Manusia zaman kegemilangan Islam semua memang ohsem belaka)

Cuba bayangkan kalau esok kita tak bangun lagi.. Adakah kita mati dalam melakukan kebaikan ataupun mati dalam onar dan duri akibat umpatan, cacian yang kita tinggalkan pada kenalan sebelum kita tidur malam.. Adakah sempat kita tinggalkan amal jariah, anak yang soleh serta ilmu yang bermanfaat sebelum kematian menjemput kita..

Kalau tanya aku, anak yang soleh confirm tak sempat (kalau mati esok la kan).. Cuma, yang mampu aku harapkan, setiap hari ianya menjadi motivasi aku untuk terus melakukan kebaikan dalam setiap aspek kehidupan.. Lagi-lagi kita tak tahu ilmu yang mana akan menjadi ilmu bermanfaat.. Jangan berangan la Zamir kalau kau rasa confirm ilmu diamond kau tu bermanfaat.. Silap2 dia buat jadi senjata serang orang Islam balik.. Ha jawab kau dekat akhirat nanti.. Maka, aku sendiri tak tau ilmu yang mana satu.. Maka setiap ilmu yang aku ada, akan aku berusaha untuk kongsikan.. Semoga ilmu itu menjadi ilmu yang bermanfaat dan mendapat redha Allah swt.

Amal jariah? Kalau ikutkan mudah sangat nak buat amal jariah ni.. Cuma bila manusia tak fikir akan kematian dan ingat akan hidup selamanya.. Kita akan sentiasa fikir aku dan hanya aku.. Tidak lagi kita dan mustahil untuk kami... Diri sendiri di dahulukan sampai terlupa ada insan lain yang lebih berhak ke atas nikmat diri kita.. Setiap perbuatan baik yang kita laksanakan boleh bertukar menjadi ibadah dan amal jariah jika dan hanya jika niatnya kerana Allah swt.. Cuma sebabkan hati manusia yang sentiasa tamakkan kemewahan dunia dan lupanya akan kematian buatkan manusia rasa dirinya akan hidup kekal abadi..

Ya kita akan hidup kekal abadi namun bukan di sini namun di Akhirat sana nanti..

Aku pun tak pasti kenapa tiba-tiba aku membebel pasal kematian.. Mungkin kerana aku rasakan setiap kali aku tidur dan bangun pagi.. Aku rasakan tarikh kematian makin menghampiri.. Makin meningkat usiaku, makin hampir aku dengan alam barzarkhku.. Cuma sudahkah aku bersedia sebelum Izrail menjemputku?

~Sejak kebelakangan ni aku asyik flashback kehidupan aku dari kecik sampai la sekarang.. Itu yang aku ingat.. Belum lagi yang mana malaikat best-fren aku tulis tak henti-henti dekat bahu kanan dan kiri ni.. Macam tak sanggup je nak lihat semua tu dipertontonkan balik sewaktu di Padang Masyar nanti..~

*Di kesempatan ni nak mintak maaf la dekat mana-mana manusia yang aku pernah buat salah, silap serta kejahatan.. Yang tak puas hati kita boleh setel baik dekat dunia eh.. Jangan ar main tuntut-tuntut kat Akhirat.. Lagipun aku dah maafkan lama dah semua salah silap orang lain.. So kira 0-0 ar.. Pleaseeee...*
 

Sunday, 12 January 2014

Persimpangan Jalan

Rasanya untuk post kali ni kene letak disclaimer awal2.. Sebab dia punya mengarut mungkin akan membuang masa sesiapa yang tak berminat..

Disclaimer: Post ini sumpah panjang.. So tak yah la buang masa korang nak baca.. Sebab post ni memang pasal diri aku dan hanya diri aku seorang..

*****

Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan sekalian alam, Allah swt yang masih memberikan aku rezeki, rahmat dan hidayah dalam menogkah arus kehidupan ini.. Setiap manusia yang percaya akan Allah dan Islam sebagai tonggak arus kehidupannya akan meletakkan kepercayaan pada Allah.. Dirinya akan diuji, dicabar setiap saat.. Setiap detik pasti ujian datang melanda.. Ini kerana penat lelah diuji oleh Allah bukan sekadar penghapusan dosa malah untuk mengangkat darjatnya kelak di Akhirat.. Keredhaan Allah menjadi misi hidupnya di muka bumi ini..

Maka selain untuk hidup sebaik mungkin, Allah swt memberi manusia akan akal.. satu nikmat yang cukup Agung untuk berfikir dalam mencakna kehidupan.. Allah memberikan kita peluang merancang dan mentadbir hidup kita.. Namun perancangan Allah adalah satu hakiki dalam kesempurnaanNya..

Sebelum ni aku ada cerita persimpangan jalan antara kehidupan emosi dan fizikal.. Di mana pabila soalan mengenai kerjaya dan keluarga mula menerjah.. Belum sempat aku usaikan cabaran masa itu.. Isu keluarga bercambah lebih jauh (aku kira tidak perlu aku ceritakan di sini dan biarlah Allah menentukan masa yang terbaik untuk diriku).. Cuma isu kerjaya aku kena hadapi dalam keadaan yang lebih rasional dan professional..

 Maka mulalah pencarian untuk melihat jalan apa yang aku ada.. Secara kasar lepas aku satukan semua jalan-jalan yang wujud dengan reaksi ekstrem yang aku ada.. Tinggalkan tiga cabang utama yang mana InshaAllah akan bersatu diakhirnya.. Cuma bila? Aku sendiri tak punya idea...

Antara pilihan di hati:

1.Ekonomi
2.Teknologi
3.Pendidikan

Semuanya ada sebab dan musabab tersendiri.. Kenapa ekonomi? Dalam arus permodenan sekarang.. Hampir semua perkara yang boleh dibeli dan duit menjadi asas pada segalanya.. Maka kalau aku teruskan usaha dalam bidang ekonomi.. Aku tahu dengan duit yang banyak.. InshaAllah aku mampu memberi dalam skala yang lebih besar.. Kalau dulu bercinta (bukan tak boleh cuma sukar) aku nak tolong bina perigi, sekolah dan sebagainya.. Maka jika aku dah berjaya (InshaAllah) dalam bidang ekonomi.. Bukan setakat perigi.. Kilang roti dan ladang ternakan pun aku boleh usahakan di negara-negara yang memerlukan.. Zakat yang mampu aku sumbangkan memang akan jadi satu nilai yang sangat-sangat menakjubkan..

Kenapa Teknologi? Sejak kecil lagi aku nampak teknologi mampu mengubah nasib pelbagai pihak lagi-lagi kalau digunakan dalam skala yang berpatutan.. Lagipun asas pada teknologi adalah penemuan teknologi itu sendiri.. Alhamdulillah dengan akal yang Allah kurniakan.. Aku diberi kelebihan untuk berfikir dengan lebih mendalam dalam sesuatu aspek.. Ini membuatkan jiwa penyelidikan aku berada pada skala yang berbeza.. Alhamdulillah, syukur pada Ilahi, hanya itu yang mampu aku ucapkan.. kerana semua ilmu yang aku timba ini hadir kerana ilmuNya yang sangat luas dan RedhaNya dalam aku mendalami ilmu ini.. Sedar tak sedar, sejak aku melangkah masuk dalam dunia penyelidikan pada tahun 2008, walaupun tak banyak, ada beberapa sumbangan yang aku mampu berikan pada teknologi dunia.. Walaupun ianya merupakan sumbangan yang cukup cukup kecil.. Namun dengan izinNya ia mampu membuka hati individu-individu tertentu untuk meneroka ilmu itu sehingga ke tahap yang menakjubkan.. Dan ini membawa kepada simpang yang ke-3..

Kenapa Pendidikan? Orang kata jiwa pendidik aku cukup lembut.. Pabila aku mengajar, seolah-olah ianya bukan diriku sendiri.. Di saat aku mula mengajar, kesabaran aku mula meningkat mendadak.. Sampaikan mereka lihat pabila aku mula mengajar, kasih sayang yang aku curahkan tidak mampu mereka gambarkan.. Dalam setiap ketegasan aku ada kelembutannya.. Setiap yang salah ada pembetulannya.. Yang lemah akan menjadi maju.. Yang baik akan menjadi yang terbaik dikalangan yang terbaik.. Aku tak nafikan, pabila aku mula mengajar in personal level.. Apa yang aku harapkan ilmu itu dapat disampaikan dengan sebaik mungkin dan InshaAllah diaplikasi oleh mereka dalam skala yang lebih baik dari apa yang aku mampu lakukan.. Bagi aku, aku nampak setiap insan yang aku ajar dan dididik,secara langsung mahupun tidak, mampu untuk atasi aku di masa hadapan.. Tugas  aku cukup mudah, memberikan mereka peluang untuk pergi lebih jauh.. Aku hanya sekadar batu loncatan untuk mereka kecapi impian dan cita-cita mereka.. Setiap insan yang hadir dalam pengajaran dan pembelajaran aku.. Aku sentiasa tatang sepenuh hati.. Dan doakan hanya satu untuk melihat mereka menjadi yang terbaik dalam hidup mereka..


Dan disinilah persimpangan itu membawa haluan masing2.. Aku harapkan aku dapat mengimbangkan antara satu aspek dan aspek yang lain.. Aku rasa itu sesuatu yang tak mustahil.. Jika para Ilmuan Islam dulu boleh lakukan.. Kenapa tidak aku? Maka bermulalah episod atau simpang baru dalam hidup aku yang tengah aku fikirkan (Ingatkan dah habis dah post ni kan padahal tadi tu baru intro.. Hahahaha)


Kalau melihat kepada kenapa aku nak jadi yang terbaik dikalangan yang terbaik dalam bidang yang aku ceburi.. Satu je sebab utama.. Dari kecik ini perspektif naifku.. Untuk mengembangkan  Islam dengan lebih effektif dan effisien dalam dunia materialistik ni.. Nak tak nak diriku kena ada pengiktirafan manusia (kerana itu hakikat manusia masa kini).. Namun bagi aku pengiktirafan manusia bukan dasar segalanya.. Ianya hanya satu unsur untuk memudahkan aku menyampaikan bertapa indahnya Islam..

Sedangkan dakwah Rasulullah saw sendiri bermula dengan peribadi dan akhlak beliau.. Maka mengapa tidak kita.. Dan aku rasakan lebih mudah untuk aku sampaikan Islam pada orang lain dengan melihatkan keperibadian aku (Yes, aku tahu aku tidak sempurna dan masih dalam proses untuk memupuk akhlak muslim yang lebih baik).. Supaya ketegasan keputusan dan tindakan aku selari dengan ajaran Islam itu sendiri.. Dengan menjadikan tumpuan diriku di mata dunia, ia pasti lebih effektif (aku tak cakap mudah sebab bukan mudah weiii bila mata dunia pandang dekat kau).. 

Yang ni bila ada 2-3 negara pandang kat tindakan aku pun dan goyang kaki.. Macam mana la bila satu dunia pandang.. Alhamdulillah, Allah masih memberikan aku kekuatan untuk terus membuat keputusan berlandaskan agamaNya dan usaha mencari keredhaanNya..

Maka jika objektif aku untuk mengembangkan Islam.. Aku kena nilai balik diri aku.. Jika sekarang ini, tahap aku di mata dunia sudah mula kelihatan sedikit demi sedikit (sumpah ayat bapak poyo).. Macam mana dengan peribadi aku? Adakah akhlak dan akidah aku dah cukup baik sebagai seorang muslim.. Jika benar ini objektif aku, sejauh mana diri aku bersedia untuk membawa imej Islam di persada dunia? Sudahkah aku bersedia..

Maka aku mula mengimbau buku-buku lama.. Kisah para Ilmuan.. Yang mana hidup aku jauh bertentangan dengan hidup mereka.. Hidup imam-imam besar, dan tokoh-tokoh ilmuan.. Yang mana seawal kanak-kanak mereka sudah meghafal Al-Quran dan menguasai bahasa Arab.. Aku? sumpah jauh.. Macam teras bumi dengan cakerawala.. Ni baru dengan tokoh ilmuan, tak yah berangan nak tengok para sahabat.. Rasulullah saw? Tunduk malu aku nyorok bawah katil.. Owh, kerdilnya diri aku berbanding cita-cita dan impian aku..

Maka wujud persimpangan yang seterusnya.. Mungkin kita tiba masanya untuk aku memperkasa ilmu agama pada tahap yang berbeza.. Sejak dari dulu aku selalu je terlintas melihat kitab-kitab lama dari ilmuan Islam.. Cuma aku tak tergerak hati untuk mendalami.. Untuk memahami melalui hati..

Maka aku rasakan, sudah tiba masanya untuk aku mengambil serius akan isu ini.. Mula membuka kitab-kitab imam besar dan ilmuan dahulu.. Memahami konteks Islam dalam erti kata sebenar.. Supaya pabila mata dunia tertumpu pada diri ini.. Mereka akan nampak Islam dalam erti kata sebenar.. Islam satu agama yang indah..

Walaupun ianya tidak memberi jawapan sama ada ekonomi, teknologi ataupun pendidikan tetapi ianya memberi perspektif baru dalam aku mengejar Ilmu Allah itu sendiri..

InshaAllah jika niat ini benar kerana Allah.. DiriNya tidak akan sesekali mengecewakan hambaNya kerana Dia Maha Pemurah lagi Maha Bijaksana..
 

Friday, 10 January 2014

Ikhlas...

Aku rasa dah macam banyak kali je aku sentuh topik ni dari hari ke hari.. Rasanya saban tahun topik ni jadi topik feveret aku.. Bukan apa, aku rasakan ianya banyak memberi impak dalam kehidupan manusia.. Sama ada di dunia mahupun di akhirat.. Kunci kepada kebahagiaan berpanjangan.. 

Bila tengok balik perkataan ikhlas tu.. Berat.. sumpah berat.. It is such a big word.. Tapi jangan biarkan beratnya kata-kata tu buatkan kita rasa gusar dan takut..

"Journey of a thousand miles begin with a single small step"

Perkataan ikhlas itu sendiri kalau lihat, ianya terhasil dari huruf-huruf yang tak punya makna.. 'i' takkan boleh berdiri sendiri tanpa huruf-huruf lain.. Sama jugak dengan 'k', 'h', 'l', 'a' dan 's'.. Tapi bila digabungkan huruf-huruf tu maknanya cukup mendalam..

Maka sama jugak dengan usaha kita untuk mula ikhlaskan diri.. Ianya bukan hadir sekaligus.. Ianya wujud dari usaha yang sedikit namun berterusan.. Keikhlasan selalu dikaitkan dalam kebaikan seseorang itu lakukan.. Maka pabila berbicara mengenai kebaikan, ada tiga sebab kebaikan itu diterima Allah swt.. 

1. Berbuat baik kerana harapkan pahala dari Allah. 
2. Berbuat baik kerana takutkan api neraka Allah 
3. Berbuat baik kerana Allah sepenuhnya..

Dan yang ke-3 itu keikhlasan tahap tertinggi..

Aku tak nafikan yang agak sukar untuk capai tahap ke-3 tapi tak mustahil.. Langsung tak mustahil.. Mampu dilakukan dan mampu dikecapi.. Cuma setiap perkara kena bermula dari perkara yang kecil.. 

Bagi aku sendiri, lagi-lagi bergelar pelajar.. Menuntut ilmu tu sendiri harus hadir dalam keadaan ikhlas.. Percayalah, ikhlas tu adalah azimat kejayaan dalam menuntut ilmu.. Cuma untuk ikhlas tu tak mudah.. Lagi-lagi bila ilmu tu susah nak faham, belajar sebab nak exam, belajar sebab nak dapatkan sekeping ijazah.. 

Aku tak nafikan semua tu penting.. Namun pabila niat tu kerana Allah, kerana nak belajar ilmu Allah, InshaAllah ianya akan dipermudahkan Allah.. Kemudian, perkara-perkara lain akan datang dengan sendirinya.. Setiap pengiktirafan dalam bentuk keputusan ijazah, peperiksaan dan sebagainya akan datang dalam keadaan yang terbaik.. Tambahan lagi, kita lakukan semuanya hanyalah kerana Allah.. Maka apa yang kita kecapi, sama ada sedih atau gembira, tinggi atau rendah.. Kita akan terima seadanya kerana Allah ada perancangan yang terbaik untuk kita.. Yang penting teruskan berusaha untuk terus ikhlas.. istiqamah dalam usaha dan bertawakal.. Dan yang paling penting bersabar dalam setiap arus cabaran yang mendatang..

"Persistent bridges through darkness"

Konteks yang sama boleh diaplikasikan dalam kehidupan.. Pabila kita ikhlas dan cuba untuk menanam sifat ikhlas dalam diri.. dalam setiap aspek kehidupan.. InshaAllah hidup ini lebih seronok.. lebih aman, lebih indah.. Hidup ini dilihat dalam perspektif yang sangat berbeza.. Cukup indah.. InshaAllah..

"Time and tides wait for no man"


Tuesday, 7 January 2014

Antara keluarga, kerjaya dan perkahwinan..

Okay aku tau tajuk ni dah masuk klise tahap gaban.. Cuma sedar tak sedar aku dah kena mula jawab soalan-soalan ni secara serius.. Kalau dulu masakan aku kisah.. Semuanya aku lontarkan dengan satu jawapan yang cukup mudah.. Tunggu la habis belajar dulu.. Namun sedar atau tidak, tempoh aku untuk tamat belajar kian hampir.. Apa langkah seterusnya dalam kehidupan aku.. Kalau suatu masa dulu, aku mungkin ada pelan perancangan hidup 5-10 tahun.. Namun setelah berpijak di bumi nyata ini, aku kian sedar banyak yang telah aku pelajari..

Kini semuanya bermula antara konflik keluarga dan kerjaya.. Secara kasarnya aku dah keluar dari rumah mak dan ayah aku 9 tahun yang lepas.. Yup, 9 tahun yang lalu aku dah mula mengembara dalam usaha mencari ilmu.. Memperkasakan ilmu dan menjitukan jati diri sebagai musafir di perantauan.. Ada masanya aku rasakan aku pentingkan diri aku sendiri lebih dari keluarga aku kerana inigin menguasai bidang serta ilmu-ilmu yang tertentu.. Alhamdulillah atas kurniaan Ilahi, ada beberapa bidang yang mana aku sendiri pelopori arus perubahan ilmu dengan izin-Nya, InshaAllah..

Ada pendapat yang mengatakan pabila aku sendiri mula mempelopori bidang tersebut dah jadi fardhu ain ke atas diriku kerana tiada siapa yang akan meneruskan pencarian ilmu itu melainkan diri aku sendiri.. Namun, dalam hatiku mula terdetik.. Sudah sekian lama aku merantau tinggalkan mak dan ayah jauh di sana.. Amanah dan tanggungjawab mula menerjah.. Perasaan sayang ibu dan ayah yang takkan luntur mula menjamah diri ini.. Selfish sangat kah aku ini? Sejauh mana aku laksanakan amanah aku ke atas orang tua ku? Semuanya dilontar satu per satu..

Jika aku ceritakan semua yang terbuku antara kerjaya dan keluarga pada orang tuaku.. Pasti mereka menyuruh aku teruskan kerjaya aku kerana Dunia Islam lebih memerlukannya kerana bagi mereka, kejayaan anak mereka lebih utama dari kebahagiaan mereka sendiri.. Aku perasan setiap kali aku pulang, mak masih tetap akan terus membelai kepalaku dan mengusap rambutku sesudah usai solat mahupun pabila bersantai di ruang tamu.. kadang kala aku rasa aku dah besar untuk semua itu.. Namun aku tahu, dirinya rindu akan daku dan dirinya tak pernah sesekali melihat diriku yang sudah dewasa ini.. Aku tetap anak kecilnya..

Maka aku kian tersepit.. Aku gunakan alasan ilmu untuk terus mengejar kerjaya aku namun aku juga ingin terus berkhidmat pada mak dan ayahku.. Namun kakak ku berpesan, kalau dah ditakdirkan aku takkan bersama dengan keluargaku, maka jika aku kembali ke Malaysia sekalipun, takkan aku duduk sebumbung dengan meraka.. Maka doalah yang terbaik dan mintaklah yang terbaik.. Kemudian bertawakal dan redha dengan ketentuan Ilahi..

Selepas aku cuba menerima dilemma antara keluarga dan kerjaya.. Soalan ketiga mengenai pasangan hidup aku mula menerjah tiba.. Aduhai, ini isu berat.. Yang mana acap kali aku lari dari topik mahupun keadaan yang menjurus ke arah topik ini.. Maka dah tiba masanya untuk put some thought in it.. Bak kata kak hyda, kak anis dan rakan taulan yang lain.. Untuk masa sekarang aku dah ready dah untuk perkahwinan ni (diorang yang cakap.. bukan aku).. Aku guna perkataan buat masa sekarang.. Sebab perkahwinan ni evolved thru time.. Maka takkan ada masa insan tu betul-betul ready dengan alam perkahwinan.. Selain tu, kata diorang lagi "Hidup aku dah cukup baik untuk menerima kehadiran insan lain".. Dan macam-macam lagi ayat diorang yang aku malas nak qoute tapi hakikatnya menurut pihak lain kecuali diri aku sendiri yang memang sah aku dah ready.. 

Cop, cop, cop.. Kalau semua kata aku dah ready yet kenapa aku kata aku tak ready.. Ironi kan.. So selama ni aku cakap aku tak ready sebab aku tak put my thought into it.. Maka kalau aku tak fikir, sampai bila-bila aku tak ready.. After putting few thoughts into it.. It is kinda a nice idea tho.. Untuk tamatkan zaman bujang ni.. Cuma yela, seronok ape kalau lepas ni tak yah dah nak buat benda sorang2.. Pergi mana2 semuanya berteman.. Dari bukak mata sampai la tutup mata.. Cuma biasalah, amanah tu pasti ada.. Takut itu memang la takut sebab tanggungjawab tu besar.. Tapi sampai bila aku nak lari dari tanggungjawab tu kan..

Hurmmm.. all in all aku dah mula consider untuk kawin.. Maka lepas habis belajar ni bolehlah mula usaha untuk mencari gadis bertuah (bertuah ke?) yang akan menjadi dalam perjuangan kali ini..

So that's it peeps.. Antara keluarga dan kerjaya, aku dah buat yang terbaik.. Maka serahkan pada yang Maha Kuasa untuk tentukan.. Alhamdulillah, aku dah mula buka pintu hati untuk consider dalam mendirikan rumah tangga (seriously zamir????) maka doakanlah yang terbaik untuk aku dalam proses tersebut..

 

Sunday, 5 January 2014

2 hari 2 pagi..

Dalam 2 hari ni memang aku tidur malam lepas pukul 2 pagi.. Kalau ikutkan memang langgar semua jenis pantang larang aku dah la.. Sebab selalunya lepas pukul 2 pagi, takkan ada benda yang baik datang dari diri aku sendiri... Lagi-lagi bila melibatkan hal-hal dunia fatamorgana ni.. 

Tapi tahun 2014 macam menyediakan sebuah perjalanan yang aku sendiri makin minat untuk terokai.. Sesi refleksi kali ini bercambah hingga ke akar umbi.. Soalan yang dah bertahun-tahun aku tak bertanya pada diri sendiri mula menjengah dalam jendela peribadi.. Maka aku tak nafikan kehadiran pemangkin-pemangkin (catalyst) yang mana aku kira patut aku ucapkan terima kasih dan Alhamdulillah pada Ilahi dalam menghadirkan mereka pada saat begini.. 

Akhirnya semua persoalan selama 2 hari dan 2 pagi mengetuk pintu asas dalam garis laluan hidup aku sendiri.. Perkataan yang cukup sinonim dengan asimilasi hidup aku sejak kecil lagi.. Perkataan cukup mudah yang mana buat kali pertama aku jatuh cinta pada Kekasih Allah swt itu sendiri.. 'Amanah' merupakan kata kuncinya yang membuatkan aku sentiasa dalam keadaan waspada dan berjaga-jaga.. 

Semalam pabila aku mengimbau kisah waktu zaman kanak-kanak ribena aku yang mana aku rasa cukup ohsem sifat baginda Rasulullah SAW dalam menjaga amanah.. Sumpah ohsem bila baginda di gelar dengan gelaran Al-Amin dalam usia muda remaja.. Saat tu aku rasa aku kena jadi macam tu.. Aku kena jaga semua amanah yang aku ada sebelum aku mula menyampaikan sesuatu pada orang lain.. Keberkesanan penyampaian aku mengenai sesuatu isu hanya akan menjadi effektif jika dan hanya jika aku merupakan seorang yang menjaga amanah (itu premis penakulan mantik aku semasa di bangku sekolah rendah)..

Maka entah macam mana, sifat amanah itu merupakan kayu ukur aku dalam setiap tindakan.. Yang mana sifirnya cukup mudah  = jika aku tidak melaksanakan amanah itu dengan baik maka api neraka merupakan sahabat sejati aku di akhirat kelak.. Dan sebab sifat aku yang suka akan api (pyromaniac) maka aku tahu bertapa panasnya api kat dunia.. Maka sumpah aku tak nak rasa api neraka.. Dengan itu bermulanya isu aku dan amanah.. Where every single thing begin..

Maka untuk melengkapkan puzzle hidup aku (bagi sesiapa yang berminat).. Tengok balik semua tindak tanduk hidup aku.. Yang mana pabila ada situasi aku boleh elak dari memegang amanah dan hak ke atas manusia lain aku takkan sesekali offer menyerah diri untuk memegang amanah tu.. Ada kes aku gaduh sebab tak nak pegang amanah tu dan mula menolak dan menyerahkan pada orang lain.. Sampai la ada beberapa isu sehinggakan ada yang terpaksa cakap kat aku yang mana hanya aku dan aku seorang yang  mampu galas amanah tu.. Waktu macam tu memang dalam hati aku meraung kot, sampai cakap habislah, confirm api neraka tengah melambai-lambai mesra sambil berkata "Marilah, marilah.. Kita kan kawan"..

Ingat lagi waktu kecik-kecik ada la masa aku persoalkan kenapa la manusia gedik sangat nak pegang amanah jadi khalifah di bumi Allah ni.. Punyalah besar isu tu tapi suka hati jer nak terima (bertapa naifnya aku masa tu bila persoalkan tingkah laku Nabi Adam AS).. Astagfirullah.. Istigfar banyak-banyak Zamir.. Tapi bayangkan la masa aku kat sekolah rendah aku dah rasa beratnya amanah sebagai manusia dan tak mustahil kesan dari isu trauma fikirkan perkara macam tu seawal bangku sekolah membentuk diriku sekarang.. Manusia yang takut pada amanah..

Cuma walaupun aku takut pada amanah, tak bermakna pabila aku terima amanah tu akan buat sambil lewa.. Perasaan takut ni berlainan dengan perasaan malas.. Amanah tu satu entiti yang cukup besar dalam pandangan dan falsafah hidup aku.. Aku percaya jika Allah dah takdirkan itu amanah aku, maka aku dah bersedia dengan amanah yang macam tu kerana pabila sesuatu amanah dihadapkan padaku.. Hanya ada satu jalan keluar, lakukan sebaik mungkin atau walk away.. Kalau aku tak rasa aku mampu, walk away.. Jangan sesekali gatal nak terima dan cuba-cuba.. Ukur baju di badan sendiri.. Bukan terima amanah sebab nak nampak hebat, bajet cool, konon bijaksana dan sebagainya.. Apatah lagi kerana nama dan pangkat..

Sekali tersilap langkah dalam melaksanakan amanah, api neraka sudah tersenyum lebar.. Apabila aku mula bersetuju memikul sebarang amanah, sebelah kakiku sudah berada dalam lingkungan api neraka.. Tersilap langkah buruk padahnya.. Dan tak perlu rasanya untuk aku huraikan api neraka tu macam mana.. Aku buat kerja yang play around reaktor suhu 700-1000 pun aku dah kecoh bila melecur sikit.. Inikan pulak the Ultimate Black Fire.. 

Amanah tu sesuatu yang berat wahai anak Adam.. Percayalah jika dikau fikirkan akan bertapa besarnya amanah yang dirimu pikul ke atas dirmu, anggota badanmu, ibu bapamu, keluargamu, guru-gurumu, jiran tetangga, sahabat handai, agamamu, bangsamu, negaramu, dan ke atas umat manusia secara amnya.. Dikau takkan sanggup untuk terus bernafas pada saat yang seterusnya..  Ingatlah kisah bagaimana sepotong ayat dari firman Allah mampu meranapkan gunung-ganang yang cukup gah dan kuat kerana takutnya gunung tersebut pada amanah Allah swt..

Itu ketakutan aku dalam hidup ini... Ketakutan yang membuatkan aku terus untuk menjadi yang terbaik dalam apa yang aku lakukan.. Ketakutan yang sentiasa menggerakkan nadi ini untuk terus hidup dengan baik dan sejahtera..

Saturday, 4 January 2014

JPA, mimpi dan air mata..

Aku tak sangka seawal waktu begini air mata boleh mengalir laju.. Se awal waktu untuk mulakan hidup pada tahun 2014.. Walaupun perjalanan 1 Januari tempoh hari sudah cukup sebak pabila aku benamkan muka dan sujud padaMu wahai Ilahi, ditengah-tengah angin kencang dan hujan lebat.. Di saat itu hanya Dikau yang ku ada dan pada Dikau ku serahkan segalanya..

Semalam, dalam waktu aku bersiap sedia dengan semua kertas-kertas dan juga seribu satu alasan yang aku ingin kemukan pada JPA.. Aku rasa cukup bertuah, bersyukur pada rahmatMu wahai Tuhanku kerna dikau kurniakan mentor-mentor di Malaysia yang sangat lah baik.. Yang sentiasa memimpin tanganku bagai anak kecil.. Percaya akan kekuatan yang aku ada dan sentiasa menyokong keinginan aku dalam sesuatu perkara.. Tanpa sokongan mereka dan tunjuk ajar mereka serta rahmatMu, aku rasakan diri ini lebih rendah nilainya dari buih-buih di lautan.. Saat membaca satu per satu kepingan kertas dari mereka, Oh Tuhan, aku rasakan itu bukan diriku.. Terlalu tinggi pengiktirafan mereka pada diriku.. Mereka lebih jauh dan lebih tinggi ilmunya berbanding diriku.. Sampai ke akhir nafasku, takkan ku sesekali rasa diriku mampu untuk berada bersama mereka..

Sebelum aku melelapkan mata semalam.. Air mata mula mengalir deras.. Sejak kecil aku rasakan hidupku sering kali menyusahkan pelbagai pihak.. Ada masanya aku berharap perginya aku dari dunia ini bagaikan satu berita yang tak pernah diketahui.. Hilang aku biarlah bagi angin yang berlalu pergi.. Agar tiada yang sedih apatah lagi yang terus meratapi.. Diri ini tidak sama sekali layak untuk semua ini.. Cukuplah hidup ini dengan terus mencari redha Ilahi dan melihat senyuman terukir pada semua yang aku kenali.. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu.. Entah kenapa air mataku sukar untuk berhenti.. Satu per satu kertas yang dicetak dibasahi.. sedikit demi sedikit..

Sama ada JPA terima atau tidak permohonan kali ini.. Hidup aku masih dalam noda-noda bahaya.. Mungkin aku sengaja mencari jalan yang sedemikian semata-mata untuk mengelak dari sesiapa memahami mahupun mendekati.. Sama ada aku teruskan dengan kajian radioaktif yang mana aku tahu akan merampas nyawaku suatu hari nanti, itupun jika JPA bersetuju dengan permohonan aku.. Ataupun, aku tunaikan permintaan untuk diriku.. Agar aku berjuang di barisan hadapan dalam membantu manusia yang lebih memerlukan.. Aku tahu keputusan kedua bakal ditentang semua pihak, sebagai 'wizard' aku tak sepatutnya bertindak sebegitu rupa.. Namun itu adalah jawapan tekad aku jika aku gagal yakinkan JPA mengenai permohonan kali ini..

Dalam tak sedar memikirkan isu ini, aku terus lena dibuai mimpi.. Dalam mimpi, aku berada dalam situasi berhadapan dengan pihak JPA dan dengan tenang aku menerima keputusan penolakan mereka.. Itu hak mereka ke atas diriku.. Hak kerajaan Malaysia ke atas wang saku yang mereka berikan.. Aku akur tapi tak semestinya aku setuju.. Yang pasti di pengakhiran mimpi itu, aku menggalas beg kegemaran ku mula memasuki runtuhan bangunan yang mana berkibarnya bendera berwarna Putih, Merah, Hijau dan Hitam.. Pandanganku kian gelap dan mataku mula terbuka melihat aku masih di rumah comelku.. Ku pegang pipi dan alas bantal.. Basah kedua-duanya..

Thursday, 2 January 2014

Januari 2014

Alhamdulillah, Tahun 2014 ni dimulakan dengan sedikit kelainan.. Saban tahun waktu aku masih kanak-kanak riang dan di ambang remaja selalu menikmati Tahun baru dengan bunga api dan sambutan pelbagai perkara.. Namun sejak kebelakangan ni selalu mulakan alam baru dalam keenakan dibuai mimpi.. Cuma tahun ni, tekad dan nekad untuk mulakan sesuatu yang lebih menarik.. Dengan ketentuan dan rahmat Ilahi, tahun ni aku mulakan dengan 'Charity Walk'.. Untuk jadikan 'walk' ni makin menarik, setiap sumbangan bernilai £20, aku akan jalan sejauh 1 batu.. Mula-mula cuak jugak sebab kalau ada yang sumbangkan sampai £2000, mau aku kena jalan antara Bristol dengan London.. Mak aih, memang cuak sebab hari pertama je dah dapat kutip dalam £50..

Sedar tak sedar lepas 2 minggu, Alhamdulillah terkumpul la £400.. maka bermulalah perjalanan 20 batu sekitar bandaraya Bristol.. Perjalanan kali ini ditujukan khas untuk anak-anak kecil di Syria yang kesejukan menjelang musim salju.. Rasanya perjalanan kali ni antara yang paling basah.. Luar dan dalam.. Hujan sepanjang hari menambahkan lagi kekangan program.. Namun sebabkan janji dan amanah, aku teruskan jugak.. Selalunya aku akan cakap kalau hiking ni, macam ala-ala strip show.. Mula-mula bukak sarung tangan, lepas tu tanggal baju satu per satu sampaikan tinggal lapisan terakhir.. Cuma kali ni, sebabkan hujan sepanjang 7 jam diselangi dengan angin kencang.. Memang sampai ke lapisan terakhir aku pun lenjun.. Ni dah kira pakai pakaian paling waterproof dan air hujan ciptaan Ilahi tu lagi besar kekuatan dia berbanding pakaian ciptaan manusia..

Pengalaman tahun baru ni memang cukup menyeronokkan.. Walaupun dalam hujan, ia menguji kekuatan diri sehingga ke tahap yang baru.. Kalau dulu solat di tengah gurun pasir ataupun atas salju di puncak gunung.. Kali ni kelainan dia pabila solat di atas padang golf dalam keadaan hujang selebat-lebatnya.. Sambil kepala ini tunduk sujud pada Ilahi, tidak ku pasti sama ada air mata ataupun air hujan pasti terus mengalir membasahi pipi ini.. Terasa kekerdilan diri ini dalam menghadap Yang Maha Kuasa.. Rasa sayup semasa menyerah diri dalam suasana hujan lebat dan angin kuat.. Satu pengalaman baru yang sukar untuk dilupakan..

Alhamdulillah selepas 7 jam, ianya tamat dengan sebaik mungkin.. Namun aku rasakan kepayahan ni tak sampai pun 1% dari kepayahan anak-anak kecil di Syria.. Sesusah mana aku rasa sepanjang 7 jam tak sama dengan kesengsaraan mereka selama beberapa minit.. Ya Allah, lemahnya terasa diri ini.. Namun inshaAllah janji aku untuk cuba kumpulkan £4000 untuk anak-anak Syria, Gaza dan umat Islam yang lain sebelum aku berusia 26 tahun akan aku teruskan.. Aku tahu ianya bukan jalan yang mudah.. Namun Alhamdulillah aku berjaya lengkapkan sebanyak 25%++.. Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Yang Maha Esa...

Namun setelah penat lelah tu, aku rasakan usaha ini masih tidak setimpal apabila aku mula menonton video ni..




Aku harap suatu hari nanti aku dapat bantu sediakan roti dan ayam serta daging untuk adik-adik ni.. InshaAllah pelan seterusnya untuk bantu bina kedai roti dan jugak pusat penternakan lembu serta kambing untuk susu dan jugak daging.. InshaAllah satu hari nanti.. Itu janji aku untuk dirimu wahai saudara-saudaraku di Syria..

Maafkan daku kerana aku masih lemah dan tak mampu membawa perubahan yang lebih besar..